KURSUS
KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI
TATACARA MENGHADAPI TEMUDUGA
Persaingan untuk mendapatkan tempat di pusat-pusat
pengajian tinggi semakin hebat. Ini adalah kerana pelajar-pelajar berkelulusan SPM dan
STPM semakin ramai setiap tahun.
Selain dari kelululusan akademik, untuk menjadi calon yang
dipilih, pelajar juga akan dinilai dari beberapa sudut lain seperti kegiatan ko-kurikulum,
penglibatan dalam pelbagai aktiviti maktab, persediaan menghadapi temuduga, disiplin dan
kegiatan-kegiatan serta perkara-perkara lain yang dapat memberi kesan dan pengaruh
terhadap pemilihan mereka.
Temuduga merupakan satu peluang yang sepatutnya dirancang
dan diambil berat oleh setiap pelajar. Tujuan utama temuduga adalah untuk menentukan dan
memilih calon yang paling sesuai. Temuduga ialah komunikasi dua hala. Ia bukan hanya satu
tugas bagi pada penemuduga untuk menetukan kesesuaian calon, tetapi juga para calon harus
berusaha agar mereka didapati sesuai dan seterusnya dipilih.
Temuduga boleh dikendalikan oleh seorang penemuduga
ataupun oleh beberapa orang, yang dipanggil panel temuduga. Biasanya terdapat
3 atau 5 orang dalam sesuatu panel temuduga., bergantung pada kehendak pihak yang
menganjurkannya. Bagaimana ia dikendalikan, itu tidak penting. Apa yang harus diberi
peringatan ialah cara anda berkelakuan, kerana itu yang akan menentukan peluang untuk anda
berjaya di dalam temuduga tersebut. Anda perlu meyakinkan si penemuduga bahawa anda layak
dipilih dan mempunyai segala ciri-ciri yang dikehendaki.
Berasaskan kepada laporan ahli-ahli panel temuduga yang
telah menemuduga pelajar-pelajar MRSM, perkara-perkara berikut telah didapati:
- Pelajar-pelajar lemah dalam membuat arguement.
- Bersikap pasif semasa temuduga.
- Tidak boleh bertutur dalam Bahsa Inggeris dengan baik.
- Tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik.
- Tidak tahu menahu mengenai kursus yang hendak diambil.
- Belum/tidak tahu membuat pilihan kerjaya yang akan diambil.
- Tidak tahu menahu mengenai kursus-kursus yang ditawarkan
oleh universiti-universiti tempatan dan luar negeri.
- Kurang pengetahuan am.
- Berpakaian tidak kemas.
Adalah menjadi tanggungjawab anda agar kelemahan-kelemahan
seperti di atas dapat diatasi. Selain dari berusaha bersendirian untuk mendapat
keterangan/memperbaiki perkara-perkara berkenaan, anda juga boleh berhubung dengan
Kaunselor, guru-guru dan mungkin ibu bapa dan kawan-kawan bagi mendapat pertolongan yang
sewajarnya.
TAMBAHAN:
Kesalahan mengisi borang permohonan seperti tidak mengisi
maklumat yang dikehendaki dengan lengkap , tulisan tangan yang sukar dibaca, borang yang
kotor dan lain-lain, memberi gambaran sikap, watak dan perlakuan calon. Jadi, perlu
ditekankan bahawa proses temuduga bermula dari masa mengisi borang permohonan.
PERSEDIAAN UNTUK TEMUDUGA:
Calon-calon mestilah bersedia dari segi mental dan fizikal
sebelum menghadiri temuduga. Berikut adalah beberapa perkara yang elok dijadikan panduan:
1. Selidik dan dapatkan seberapa banyak mungkin
maklumat-maklumat berhubung dengan kerjaya yang menjadi pilihan. Antara sumber-sumber yang
boleh membantu anda dalam hal ini ialah:
- Kaunselor.
- Guru-guru kaunseling.
- Guru-guru yang mempunyai pengetahuan berkaitan dengan
kerjaya tertentu.
- Buku-buku Occupational Outlook Handbook dan
Dictionary of Occupational Tittles yang boleh diperolehi di bilik Kaunselor.
- Prospektus dari pelbagai universiti tempatan dan luar
negeri yang terdapat di Perpustakaan Maktab.
- Pegawai-pegawai di Bahagian Bimbingan Kerjaya dan
Perkhidmatan Pekerjaan, Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat.
- Pegawai-pegawai yang bekerja di dalam bidang kerjaya yang
dipohon.
- Risalah-risalah dan bahan-bahan penerangan kerjaya yang
boleh dipohon dari Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA, Jabatan Buruh dan sebagainya.
- Ibu bapa, saudara-mara dan rakan-rakan.
2. Pastikan anda mempunyai kelulusan akademik serta
kelulusan-kelulusan lain yang diperlukan sebagai syarat bagi mengikuti kursus/bidang yang
dipohon. Janganlah semata-mata bergantung pada nasib dan angan-angan sahaja.
3. Berhati-hati ketika mengisi borang permohonan
(penempatan) yang pihak Maktab edarkan. Segala butir yang hendak diisikan perlulah difikir
terlebih dahulu sama ada betul atau tidak, supaya borang anda nanti akan kelihatan bersih.
Kesalahan mengisi borang permohonan/penempatan seperti tidak mengisi maklumat yang
dikehendaki dengan lengkap, tulisan yang sukar dibaca, borang yang kotor dan lain-lain,
memberi gambaran sikap, watak dan perlakuan anda. Perlu diingatkan bahawa proses temuduga
bermula dari masa anda mengisi borang permohonan lagi.
4. Ambil tahu serba sedikit mengenai hal-hal di
sekelililng anda (baca surat khabar, majalah dan sebagainya mengenai berita-berita penting
dan pengetahuan am).
PADA HARI TEMUDUGA:
- Pakailah pakaian yang sesuai, kemas lagi bersih.
Pelajar-pelajar lelaki perlu memakai tali leher. Jangan pakai pakaian yang terlampau
berwarna-warni dan menjolok mata, berselipar, serta menggunakan minyak wangi dan alat-alat
solek yang berlebihan. Elakkan memakai baju batik dan T-shirt. Cuba bayangkan jika anda
yang menemuduga, anda pasti akan memilih calon yang berpakaian kemas.
- Pakailah kasut kulit. Elakkan kasut kain, kasut sukan atau
selipar.
- Rambut anda hendaklah pendek bagi lelaki dan kemas disikat
atau bertudung bagi perempuan.
- Pastikan anda ada membawa bersama-sama anda surat panggilan
temuduga, kas pengenalan, surat beranak, sijil-sijil asal, dokumen-dokumen asal serta
surat-surat akuan asal (jika ada) untuk disemak oleh panel temuduga. Atur mengikut susunan
yang dikehendaki dan sebaik-baiknya difailkan supaya nampak lebih kemas dan teratur.
(Jangan digulung-gulung sijil anda).
- Tentukan di mana, bila dan pukul berapa temuduga itu
diadakan. Cuba untuk sampai antara 10 - 15 minit lebih awal supaya anda punya cukup masa
untuk berehat dan bertenang, tetapi jangan terlalu lama sehingga anda berasa cemas pula.
Jangan sekali-kali datang lambat.
- Apabila dipanggil masuk ke dalam bilik temuduga, anda
hendaklah mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum masuk. Jangan berasa gentar, masuk dengan
hati yang tenang serta penuh yakin.
TINGKAHLAKU SEMASA TEMUDUGA:
Semasa hendak masuk ke bilik
temuduga janganlah gentar. Buat seperti biasa saja. Biasakan memberi ucapan selamat
pagi/selamat petang mengikut pada keadaan waktu, atau assalamualaikum
sekiranya panel temuduga itu beragama Islam.
Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi
penemuduga itu tidak membuat gerakan dahulu, jika kiranya ia hendak berbuat demikian.
Jangan terus duduk melainkan telah dijemput berbuat
demikian. Apabila disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta
tegakkan badan. Jangan menggelisah.
Jangan cuba hendak mengalih keadaan kerusi yang disediakan.
Serahkan dokumen-dokumen berkaitan apabila diminta. Jangan
anda meletakkan barang-barang lain, tangan ataupun siku anda di atas meja penemuduga.
Jangan duduk bersilang kaki. Jangan goyang-goyangkan kaki
ataupun menggerakkannya ke sana sini.
Jangan cuba hendak menjenguk atau membaca surat-surat dan
lain-lain kertas yang terdapat di atas meja penemuduga.
Biarkan penemuduga memulakan perbualan.
Apabila bercakap pandanglah ke muka penemuduga itu.
Jangan menjawab soalan-soalan dengan tergopoh-gapah.
Jawablah setiap soalan yang ditanya dengan terang dan jelas serta mudah didengar. Jawapan
yang diberi itu hendaklah tepat dan jangan bercakap panjang lebar perkara yang tidak
berkaitan. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa kasar. Bercakaplah dengan penuh rasa
yakin dan tenang.
Gunakan ganti nama seperti tuan/puan pada orang yang
menemuduga dari semasa ke semasa, tetapi jangan selalu sangat menggunakannya pula. Apabila
menyebut nama seseorang gunakan gelaran yang terdapat pada nama orang tersebut seperti
Tuan/Tan Seri/Dato/ Dato Seri/Tuan/Puan/Encik dan sebagainya.
Anda haruslah sentiasa bersopan santun biarpun ada
ketikanya soalan yang dikemukakan mungkin mencabar anda. Perkara semacam ini selalunya
disengajakan untuk melihat sejauhmana anda akan bertindak terhadap keadaan atau situasi
yang menekan.
Tumpukan perhatian pada setiap soalan dan beri jawapan atau
tindakbalas yang tepat dan sempurna.
Cuba kembangkan perbincangan pada tajuk/hal yang telah
menarik perhatian penemuduga, tetapi bersedialah membatasi mana-mana yang dirasakan tidak
menarik perhatian mereka.
Anda mestilah bersedia dan berwaspada pada setiap ketika.
Hujahkan satu-satu point itu dengan penuh semangat.
Cuba kembangkan jawapan "ya" atau
"tidak" anda dengan sebab musabab yang munasabah.
Jika anda tidak tahu jawapan kepada sesuatu soalan, jangan
cuba hendak berbohong ataupun mendiamkan diri sahaja kerana ini nanti akan melemahkan
peluan anda. Sebaik-baiknya anda berterus terang yang anda tidak tahu jawapan bagi soalan
berkenaan.
Jangan menguyah sesuatu semasa temuduga sedang berjalan.
Jangan sekali-kali cuba menyampuk semasa penemuduga sedang
bercakap atau berbincang sesuatu di antara mereka.
Minta penjelasan sekiranya anda tidak begitu faham pada
soalan-soalan tertentu.
Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga,
persekolahan, kegemaran dsb., selaiin dari pilihan kerjaya dan pengajian anda. Jangan
bercakap berlebihan dan yang tidak sepatutnya. Jangan pula berbincang apa-apa masalah
peribadi anda semasa temuduga.
Jangan menyeterui para penemuduga dengan sifat angkuh atau
sifat tidak acuh yang anda tunjukkan.
Gunakan satu-satu bahasa tanpa campur-aduk dengan bahasa
lain. Sebagai contoh jangan gunakan, "I fikir problem ini tidak dapat
diselesaikan". Ataupun "You taulah, problem ini begitu complicated".
Sekiranya disoal dalam Bahasa Melayu, jawablah dalam Bahassa Melayu dan sekiranya disoal
dalam Bahasa Inggeris, anda perlulah pula menjawab dalam Bahasa Inggeris.
Cuba jawab semua soalan dengan tenang. Jangan cuba
menengking penemuduga. Mungkin soalan itu mudah dan tidak berkaitan. Umpamanya jika
ditanya berapa orang calon sedang menunggu di luar, itu tidak ada kaitan dengan pilihan
kerjaya anda. Tujuan soalan sedemikian dikemukakan ialah untuk melihat sama ada anda
observant atau tidak.
Biarkan penemuduga itu menamatkan temuduga.
Di akhir temuduga, ucapkan terima kasih kepada panel
temuduga kerana memberi peluang kepada anda menghadiri temuduga itu.
Tambahan: Jika diberi peluang untuk bertanya soalan,
kemukakan soalan yang munasabah.
ooo Selamat
Maju Jaya ooo
CONTOH SOALAN-SOALAN TEMUDUGA
- Apakah yang anda ingini 5 tahun daripada sekarang?
- Mengapakah anda memilih kerjaya yang sedang anda kejar
sekarang?
- Cerita sedikit tentang diri anda.
- Apakah yang dapat memotivasikan anda?
- Apakah kelayakan yang anda miliki yang boleh menolong dalam
kerjaya pilihan anda?
- Bagaimanakah anda menentukan/menilai kejayaan?
- Apakah sumbangan yang anda dapat berikan kepada pihak kami?
- Terangkan/huraikan perhubungan yang perlu terjalin antara
penyelia dan orang-orang bawahannya.
- Apakah kelemahan-kelemahan anda?
- Adakah gred-gred yang anda capai semasa belajar
menggambarkan kebolehan anda sebenar?
- Mengapakah patut kami memilih anda?
- Ceritakan satu pengalaman yang paling berguna kepada anda.
- Nyatakan 2 atau 3 perkara yang anda anggap penting dalam
pekerjaan anda.
- Apakah matlamat dan tujuan jangka panjang dan jangka pendek
anda? Bagaimana anda membuat persediaan untuk mencapainya?
- Yang mana lebih penting kepada anda : duit atau jenis
pekerjaan.
- Apakah yang anda anggap sebagai kekuatan anda.
- Nyatakan 2 atau 3 pengalaman pencapaian yang telah
memberikan anda kepuasan. Mengapa?
- Situasi bekerja yang bagaimanakah dapat memberikan
keselesaan kepada anda?
- Bagaimanakah anda apabila bekerja dalam keadaan yang
tertekan? (work under pressure)
- Apakah kesulitan yang pernah anda hadapi dan bagaimana anda
dapat mengatasinya.
- Apakah yang anda telah pelajari daripada
kesilapan-kesilapan pada masa-masa lalu?
- Apakah objektif kerjaya jangka panjang anda?
- Bagaimanakah anda merancang untuk mencapai matlamat kerjaya
anda?
- Apakah kualiti yang perlu ada pada seseorang yang berjaya?
- Apakah subjek yang anda paling minat dan paling tidak minat
sekali? Mengapa?
- Apakah perubahan-perubahan yang anda akan lakukan semasa
berada di kolej atau universiti? Mengapa?
- Apakah yang anda telah pelajari daripada penyertaan anda
dalam aktiviti kokurikulum?
- Adakah anda mempunyai keutamaan tempat/lokasi anda bekerja?
Mengapa?
- Apakah ganjaran terpenting yang anda jangkakan dalam
kerjaya anda?
- Bincangkan sedikit tentang isu semasa yang berkait dengan
kerjaya pilihan anda.
Andainya anda
mendedahkan rahsia kepada angin,
jangan pula terkejut sekiranya angin mendedahkan rahsia kepada pokok....
- Kahlil Gibran |
|