Edu-Line
(MALAYSIA)

Ijazah Pertama
Matrikulasi
SPM
PMR
UPSR

 

 

Peperiksaan Percubaan SPM MRSM 1997
Bahasa Melayu 2
Dua Jam

Hakcipta terpelihara © Bahagian Pelajaran Menengah, MARA


Soalan 1

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tuliskan satu rumusan tentang punca-punca kesesakan jalan raya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pengawalan kelancaran lalu lintas berkomputer, bantuan Polis Trafik dan lorong khas pengangkutan awam masih belum dapat mengurangkan kesesakan ke tahap yang tidak memeningkan kepala pengguna jalan raya. Sikap pengguna berebut-rebut, tanpa mahu bertolak ansur dan lebih mementingkan diri memburukkan lagi keadaan itu. Sebagai pengguna kita akui setiap pergerakan dan urusan di bandar utama termasuk di Kuala Lumpur perlu dilakukan pantas. Sememangnya semua penghuni kota semua mahu segala urusan mereka jika boleh, dapat diuruskan dalam tempoh yang singkat. Atas sikap dan keinginan sebeginilah sebanyakan pengguna di bandaraya tidak berdisiplin dan sanggup mengingkari peraturan jalan raya tanpa memikirkan kesan keseluruhannya kepada kesesakan lalu lintas. Ramai yang tidak ambil peduli langsung dengan melanggar lampu isyarat, memasuki kawasan yang dihadkan kepada pengguna tertentu jalan raya dan memandu mengikut cita rasa dan keperluan mereka sahaja.

Kita percaya di tengah kota yang sesak sebegini bukan sesuatu yang mudah untuk mengambil tindakan terhadap semua pengguna jalan raya yang tidak berdisiplin. Bagaimanapun kita yakin hukuman berat dan tindakan tegas tanpa belas kasihan akan dapat mendisiplinkan mereka terutama pengguna yang degil dan suka menyusahkan orang lain.

Denda kesalahan meletak kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan sekitar bandar raya dinaikkan 10 kali ganda daripada RM 30 kepada denda maksimum RM 300. Menurut Polis Trafik, denda itu dinaikkan kerana orang ramai masih memandang ringan terhadap kesalahan meletak kereta sehingga menjadi satu punca utama kesesakan sekitar bandar raya. Kebanyakan pemandu yang melakukan kesalahan ini memberi alasan bahawa mereka meletakkan kenderaan itu untuk satu tempoh yang amat singkat.

Di beberapa kawasan yang kurang perancangan, kita merasakan adalah wajar jika pihak berkuasa bandar raya mengkaji semula kawasan tertentu yang kini semakin sibuk, tidak lagi dijadikan kawasan yang membolehkan pengguna kenderaan menunggu walaupun seketika untuk membolehkan rakan mereka menjalankan urusan di kawasan berdekatan.

Jika diperhatikan, kesesakan juga berlaku disebabkan urusan pemunggahan barangan ke premis dan kedai dilakukan ketika waktu pejabat. Ini kerana di Kuala Lumpur, sejak dahulu lagi sudah wujud banyak kedai dan premis runcit yang didirikan di tepi jalan dan kini laluan itu menjadi kawasan tumpuan. Mereka yang terlibat wajar disaman 30 kali ganda kerana tidak mematuhi waktu pemunggahan. Oleh itu, peniaga-peniaga perlu memunggah barang pada waktu-waktu yang telah ditetapkan.

(Diubahsuaikan daripada Minda Pengarang,
Berita harian, 15 Februari 1997)

 

Soalan 2

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan sendiri.

"Siapa yang nak mendirikan kedai syarikat kerjasama?" tanya Tuk Penghulu apabila Lim menyampaikan ura-ura berita Kalam, Tamin dan beberapa orang kawannya hendak menubuhkan syarikat kerjasama.

"Banyak orang cakap. Semua orang sibuk pasal mahu buat kedai syarikat, Tuk tak tau ke? Tuk mesti tau itu budak-budak punya kerja. Penghulu mesti tau dulu…" Lim mengapi-apikan Tuk Penghulu yang besar egonya itu. Tarafnya sebagai ketua kampung dirasakan begitu besar dan penting sekali. Jangan ada kerja-kerja yang membelakangkannya alamat orang itu akan dipulaukannya.

"Ah! Itu budak-budak muda angan-angan kosong. Cakap besar, kerja tak tau. Tak boleh jadi kalau aku tak ada campur, Lim," tegas Tuk Penghulu dengan sombong. Rokok mahal terpating di bibir. Sambil berbual-bual itu rokok itu tidak pernah lepas daripada mulut.

"Dulupun ada cakap-cakap mahu buat kedai, tapi hilang saja… Sekarang ada lagi cakap-cakap mahu buat kedai lagi. Siapa punya kerja tu, Tuk?" Lim mengorek lagi.

Tuk Penghulu yang faham akan tujuan pertanyaan Lim itu segera menjawab dengan nada yang meyakinkan.

"Ah… kau usah bimbanglah, Lim. Tak ada apa-apa. Kau boleh berniaga lebih lama di sini. Aku… aku ni ada lagi, kan?" Tuk Penghulu menepuk-nepuk dada kurusnya beberapa kali dengan sombong. Lim terenyum puas. Jaminan begitulah yang mahu didengar oleh telinga Lim. Hatinya senang sudah. Dia tidak perlu bimbang dengan khabar-khabar tentang kedai syarikat kerjasama yang sedang hangat diperkatakan orang.

Petang itu Botak, kuli Lim berat memikul tiga puluh kati gula pasir. Satu tin biskut untuk anak-anak Tuk Penghulu. Isteri Tuk Penghulu tersenyum riang.

"Ah… apa susah-susah ni botak," kata Tuk Penghulu. Senyumannya melebar-lebar. Sudah banyak kali dia menerima pemberian tanda persahabatan begitu. Kalau kedai Melayu tak usah harap dapat gula percuma selalu, beras percuma selalu. Tuk Penghulu senyum lagi. Isterinya tidak tahu apa-apa di sebalik gula percuma, biskut percuma yang dimamah oleh anak-anaknya itu. Dia cuma tahu Lim seorang kawan suaminya yang baik hati, banyak memberi itu ini kepada keluarganya.

Sedang Tuk Penghulu mengelamun panjang itu datang anak lelakinya yang berumur lapan tahun menghulurkan surat bersampul kuning kepadanya.

"Surat apa ni? Dari mana?" tanya Tuk Penghulu.

"Budak kasi," jawab anak itu dan berlalu dari situ kerana mahu lekas merebut biskut yang sedang dihadap oleh adik-adik yang lain.

"Malam ni nak datang berunding. Hemmm… tergendalalah kerja aku. Ah… ada-ada saja," rungut Tuk Penghulu sendiri.

(Dipetik dan diubahsuai daripada
Novel 'Dagang Terbuang' - Khadijah Hashim)

a.    Terangkan maksud rangkai kata di bawah mengikut penggunannya dalam petikan di atas.

    1. terpating di bibir
    2. senyumannya melebar-lebar
    3. mengelamun panjang

[6 markah]

b.    Jawab soalan-soalan berikut berdasarkan petikan di atas.

    1. Apakah berita yang dibawa oleh Lim kepada Tuk Penghulu?
    2. [2 markah]

    3. Mengapakah Lim begitu bimbang dengan perkembangan terbaru yang didengarnya? Bagaimanakah beliau cuba mengatasi masalah itu?
    4. [6 markah]

    5. Apakah jaminan yang diberikan oleh Tuk Penghulu kepada Lim? Apakah reaksi Lim tentang jaminan Penghulu itu?
    6. [6 markah]

    7. Apakah yang dimaksudkan dengan, "pemberian tanda persahabatan" dalam petikan di atas. Beri alasan anda mengapa amalan ini tidak patut dimalakan?
    8. [6 markah]

    9. Jika anda menjadi penghulu apakah tindakan anda untuk menjayakan penubuhan Kedai Syarikat Kerjasama di kampung itu?

[4 markah]

Soalan 3(a)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan beikutnya dengan menggunakan perkataan sendiri.

"Maka ribut pun turun, ombak pun besar, maka perahu bapa hamba tiada terbela oleh orang, maka perahu itu pun rosaklah. Maka ayahanda hamba, Raja Tanjung Pura, dengan bonda hamba pun tiada sempat naik ke sampan, sekaliannya berengangan mengusir perahu yang lain. Betapa gerangan halnya ayah bonda hamba itu tiada hamba tahu. Maka hamba berpegang pada sekeping papan, lalu dibawa oleh arus dengan ombak ke tengah laut. Tujuh hari lamanya hamba di laut, tiada makan dan tiada minum air tawar. Seyampang bertemu dengan bapa hamba ini berbuat kasih akan hamba, tetapi jika sepala-pala bapa hamba mengasihi hamba hantarkanlah hamba kepada ayah hamba ke Tanjung Pura, supaya tuan hamba dianugerahi ayah hamba harta, tiada gerangan terkira-kira banyaknya."

Maka kata si penyadap, "Benarlah kata tuan hamba itu, tetapi di mana hamba menghantar tuan hamba kepada ayahanda ke Tanjung Pura itu? Diamlah tuan hamba di sini serta hamba dahulu, barang bila dijemput oleh paduka ayahanda kelak hamba kembalikan. Lagi rasa hamba pun tersangkutah melihat rupa tuan hamba terlalu elok ini, biarlah hamba angkat anak, kerana hamba pun tiada beranak."

Maka kata Raden Kirana Langu, "Baiklah, mana bicara bapa hamba, tidaklah hamba lalui."

Maka oleh penyadap itu Radin Kirana Langu itu dinamainya Kimas Jiwa. Maka terlalulah kasih si penyadap kedua laki isteri akan Kimas Jiwa itu, sentiasa ditimangnya, katanya, "Tuanlah kelak menjadi ratu Majapahit, beta kelak dijadikan patih Aria Gajah Mada."

Maka sahut Kimas Jiwa, "Baiklah, jikalau manira jadi ratu."

(Dipetik daripada 'Sejarah Melayu')

i.    Terangkan maksud rangkai kata yang bertulis dengan huruf condong di bawah mengikut penggunannya dalam petikan di atas.

    • berenangan mengusir perahu
    • manira jadi ratu

[4 markah]

ii.    Siapakah Raden Kirana Langu?

    [3 markah]

iii.    Apakah yang telah terjadi kepada Raden Kirana Langu? Bagaimanakah beliau terselamat daripada kejadian tersebut?

    [5 markah]

iv.    Apakah yang dimaksudkan dengan "…mana bicara bapa hamba tidaklah hamba lalui." Pada pendapat anda, mengapakah Raden Kirana Langu berkata sedemikian?

[5 markah]

Soalan 3(b)

Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

Anak Remaja
anak remaja tanah merdeka
selamanya tertutup pintu pengertian
tentang kebangkitan kita dalam berani
segala derita maut dibawa bagai mimpi
tak selesa diriwayatkan sejuta hari

Betapa dewasa mereka mewarisi tenteram tanah terbuka
tampan berjalan di lorong-lorong kota
menggalas seribu budaya dunia
apabila tiba di rumah
betapapun lewat malam
mulut jangan kelu ibu bapa perlu disapa
sekalipun daif tubuhnya dan pandangan terlambat
pernah dulu memiliki kekuatan yang terjangka
berupaya mengisytiharkan kemerdekaan
dalam hutan ketakutan dan jiwa hamba

Warisan itu
jambatan kemenangan teramat berharga
bagi seluruh zuriat warga satu bangsa
anak-anak remaja
segera mencari catatan dalam sejarah
jika sampai terlupa para profesor mencatatnya
engkau pasangkan nota kecil
pelupa dan derhaka

-Jihaty Abadi-

i.    Apakah yang dimaksudkan oleh penyajak dengan

    • menggalas seribu budaya dunia
    • memiliki kekuatan yang tidak terjangka

[4 markah]

ii.    Apakah pandangan penyajak tentang sikap anak remaja selepas merdeka?

    [3 markah]

iii.    Bagaimanakah kehidupan anak remaja tersebut setelah merdeka?

    [3 markah]

iv.    Apakah nasihat penyajak kepada anak remaja dalam sajak di atas?

    [4 markah]

v.    Pada pendapat anda, apakah peranan remaja untuk mengisi kemerdekaan?

[6 markah]

Soalan 4

a.    Tuliskan ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan anda faham penggunaan dan maksudnya.

    1. berlepas
    2. terlepas
    3. lepasan
    4. pelepas
    5. selepas-lepas

[10 markah]

 

b.    Tukarkan perbualan di bawah kepada cakap pindah tanpa mengubah maksud asalnya.

"Dik… abang sudah bertekad untuk membawa adik ke hospital, esok."

Faizah memandang Faiz ketika usul itu diutarakan. Direnungnya wajah itu lama.

"Abang… terima kasih. Tapi, Faizah fikir tak usahlah abang bersusah payah. Ubat akar kayu ini sudah cukup rasanya untuk menyembuhkan Faizah."

"Tidak, dik! Sudah ramai yang ke sana dan sudah ada yang kembali dengan selamat."

"Tapi… kebanyakannya terus pergi meninggalkan segalanya, bukan begitu? Faizah, kalau mati, mahu di sini saja, bang."

Diam seketika. Masing-masing melayan diri sendiri.

"Kita berusahalah dulu…"

[10 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT

Sesiapa yang tidak pernah merasai kepahitan
tidak akan mengenal kemanisan....


Hakcipta terpelihara © Bahagian Pelajaran Menengah, MARA
Kembali ke Edu-Line (Malaysia)